Total Pageviews

Sunday 7 April 2013


Kita nak bina Ummah , bukannya nak main pondok- pondok..>,<

assalamualaikum...
tiba- tiba nk copy entry dari Hilal asyraf ni..good point....enjoy ur readings..=)





Ramai yang mengadu betapa hasrat mulia mereka tidak mendapat perhatian ibu bapa. Nak kahwin awal, tetapi tidak diperkenankan.

Tanpa saya nafikan, memang ada ibu bapa yang tidak reasonable dalam hal ini, namun sebagai pemuda saya suka untuk melihat kembali mengapa rata-rata permohonan kahwin awal ini dipandang sepi oleh Ibu Bapa kita? Bahkan ada yang memandangnya secara sinis, dan tidak pula merestuinya.
Mengapa?
Peribadi Yang Tidak Meyakinkan
Ada kemungkinan, kita sebagai anak, baik lelaki dan perempuan, masih tidak mempunyai sebuah peribadi yang meyakinkan ibu bapa kita untuk melangsungkan perkahwinan.
Kita masih selekeh, juga masih tidak menunjukkan tanda-tanda mampu berdikari. Bilik masih bersepah. Kekemasan diri tiada. Hidup masih tidak tentu arah. Pelajaran terhuyung hayang. Dengan ibu bapa masih tidak hormat. Di rumah, Ibu Bapa yang jadi pekerja, kita berlagak seperti tuan besar.
Mungkin dek kerana peribadi yang sedemikian rupa, maka tatkala kita kata: “Mak, saya nak jadi suami kepada Si Fulanah tu, boleh?” dalam keadaan umur baru belas-belas atau masa belajar pun belum habis, semestinya akan menimbulkan rasa ‘tidak selamat’ daripada Ibu Bapa kita. “Mak, saya nak jadi isteri kepada Si Fulan tu boleh?”  Kita pun tak pernah rasa nak tolong Mak di dapur, kemas rumah jauh sekali, bilik pun memanjang bersepah, belajar pun ke hancur, selalu balik rumah lewat malam, keluar dengan siapa mak pun tak tahu. Tiba-tiba nak jadi isteri orang dalam usia yang sangat muda? Timbul tanda tanya.

Ambil Mudah + Boros
Apa petanda tidak matang?
Antaranya adalah suka ambil mudah.
Saya suka melihat keadaan remaja sekarang yang berkempen ‘turunkan harga hantaran’ dan ‘murahkan bajet perkahwinan’. Kalau ada cerita fasal orang kahwin dengan nilai yang murah, bukan main hangat lagi sharenya. Kan?
Bagus sebenarnya kahwin murah ni. Kerana, kahwin sehari sahaja. Rumahtangga pula kalau boleh nak sehingga ke syurga. Maka semestinya tak berbaloi habiskan duit banyak-banyak pada majlis perkahwinan yang sementara itu.
Namun, dalam anak-anak berusaha minta kahwin murah, kahwin khitbah, dan sebagainya kepada ibu bapa, diri sendiri boros dengan pelbagai perkara. Telefon bimbit beli yang mahal-mahal. Wang biasiswa habis dengan berjalan merata tempat. Kasut juga mahal-mahal. Seluar dan baju ‘custom made’ punya. Komputer kita, sanggup habis duit dengan gajet-gajet komputer termahal walaupun sebenarnya tak perlu pun. Segala gajet kita beli, iPhone, iPad, iPod, dan segala ‘i’ lagi, walaupun tidak penting.
Kemudian tiba-tiba bila kita nak kahwin, kita nak murah-murah. Bila mak tanya, duit ada ke nak kahwin? “Ala mak, kahwin murah tu berkat!”
Ibu Bapa mana yang akhirnya tak rasa anak dia bukanlah orang yang layak nak berkahwin?
Suka ambil mudah. Macam mana nak jadi suami orang, isteri orang, mak bapak orang?
Kuat membazir pula tu. Duit dahlah tak ada. Nak kahwin awal. Mak bapak jugak tanggung itu ini nanti.
Takkan dah berumahtangga, masa tak ada duit, kita call mak ayah kita macam masa kita habis duit belanja masa belajar dulu?

Cermin Diri, Binalah Peribadi
Saya dahulu minta nak kahwin awal. Umur 18 tahun saya dah minta nak kahwin. Ummi Abah saya tolak juga permintaan saya ketika itu.
Abah suruh timba banyak pengalaman lagi, suruh membesar lagi. Ummi pula tanya ada duit atau tiada. Pada masa itu, saya sebagai seorang pelajar agama, ada baaaaaanyak dalil untuk berhujah dengan Ummi Abah saya, agar membenarkan saya kahwin awal juga. Namun, pada hari itulah saya memilih untuk berkata pada diri: “Apa kata, kita ikut Ummi Abah punya nasihat?”
Saya cermin diri saya, dan saya bina perancangan.  Sebelum saya ke Jordan pada penghujung tahun 2008, saya berikan kepada Ummi Abah saya kertas kerja untuk berkahwin.  Di dalam kertas kerja itu, saya ada cakap rancangan saya untuk cari duit, macam mana saya nak jimat duit dengan duit Abah bagi buat belanja bulanan, macam mana dan bila saya nak habis belajar, bila target nak kahwin dan sebagainya.
Saya sendiri, sepanjang hidup di Jordan, pakaian saya terdiri daripada pakaian-pakaian pemberian senior, dan barangan yang saya beli di kedai bundle Jordan. Baju-baju saya berharga RM2.50 sahaja sehelai. Kadangkala nak merasa pakai berjenama sedikit, saya cari jenama yang elok-elok di bundle itu, dan beli dengan harga RM30, sedang orang lain membelinya dengan harga ratusan ringgit.
Saya juga giat bekerja sebagai penulis, sambil belajar. Saban tahun berusaha menghasilkan karya. Pengajian saya juga saya pastikan on track, habis pada masanya.
Begitulah kehidupan saya. Hingga akhirnya, kala saya tamat pengajian, saya punya sedikit simpanan untuk perkahwinan dan start rumahtangga.
Ummi Abah saya, melihat disiplin ini, Menyebabkan mereka akhirnya bersetuju dan okay untuk saya berkahwin pada awal 20-an. Rancangan saya untuk berkahwin pada umur 24-25 tahun, diawalkan menjadi saya berkahwin pada umur 23 tahun, pada 070712.
Setahun sebelum perkahwinan pula, saya sudah buat kertas kerja untuk berkahwin. Menyatakan berapa wang saya ada, dan bagaimana majlis yang saya mampu. Saya bentangkan kepada Ummi Abah saya, dan kata:
“Ini sahaja Hilal mampu. Kalau lebih daripada ini, mohon Ummi Abah la tanggung.” Dan Ibu bapa saya bersetuju. Ketika itu juga saya sudah siapkan perancangan bagaimana kehidupan saya selepas berkahwin, nak duduk di mana, rumah macam mana, kerja apa dan sebagainya.
Akhirnya alhamdulillah, saya berkahwin dengan tenang dan senang, tanpa hutang keliling pinggang. Bahkan, ada benda yang saya nak bayar, Ummi berbesar hati bayarkan, ada benda yang saya nak tanggung, Abah berbesar hati nak langsaikan. Akhirnya, saya ada bonus lebihan duit untuk meneruskan kehidupan berkeluarga dengan zawjah.
Saya melihat, remaja, pemuda, yang semangat nak kahwin awal ini, pertama sekali kena belajar bina peribadi.
Kemudian jalinkan hubungan baik dengan ibu bapa.
Paling penting, jangan sesekali couple. Itu yang banyak menyusahkan hubungan.
Sebaiknya, sebelum kita ada janji apa-apa dengan pihak satu lagi, kita dah consult dengan ibu bapa kita. Jangan dah bercinta hingga ke langit, nak kahwin baru cari mak bapak. Ini saya nampak, antara faktor kenapa Ibu bapa kurang senang merestui perkahwinan awal kita.

Penutup: Mencari Sinergi Antara Kita Dan Ibu Bapa
Memang ada ibu bapa yang tak reasonable. Anak dah susah payah berdikari, usaha matangkan diri, jimat duit, belajar rajin dan cemerlang, masih lagi tak benarkan sang anak berkahwin.
Ibu bapa begini, kita serahkan kepada Allah SWT sahaja. Kita pula, jangan sesekali jadi seperti mereka kala kita tua nanti.
marilah remaja, pemuda, pemudi sekalian, kita tengok balik peribadi kita, sikap kita, pengurusan diri kita, sebelum kita sibuk dengan isu kahwin murah, hantaran rendah, kahwin awal, nikah khitbah dan sebagainya.
Kita nak bina ummah, bukannya nak main pondok-pondok.
Kahwin ni lebih besar dari sekadar nak melepaskan diri daripada zina. Kahwin ini adalah asas kepada pembinaan ummah.
Check semula diri kita.
Perhatikan kembali bagaimanakah kehidupan kita.
Kita bina keyakinan orang lain terhadap diri kita.
Sekaligus, kita membina masa hadapan yang lebih terjamin buat diri kita.
Ayuh, keluar daripada novel-novel penuh fantasi, dan berpijaklah di alam realiti!




sooo...sahabat..nk kawen bukannya boleh suka2 atau ikut main terjah ja...bina peribadi...baru saya yakin nak jadi isteri atau suami awak- awak semua...hihi..>,<

by : Hilal Asyraf